Wednesday, August 10, 2011

~ Kota Bukhara ~


Bukhara, Uzbekistan


Lokasi

Bandar Bukhara terletak di barat Republik Uzbekistan sekarang ini yang terletak di Asia Tengah. Nama Bukhara dikatakan berasal dari perkataan Monggol iaitu (Bukhar) yang bererti ilmu yang banyak kerana terdapat ramai golongan ulama di sana.


Sejarah 

Bandar Bukhara telah lama didirikan sejak bertahun-tahun Masihi. Bandar ini telah wujud pada zaman pemerintahan kerajaan Akminiah Iran (553 – 330 Sebelum Masihi). Kemudian ia dikuasai pula oleh Iskandar Akbar. Setelah itu bandar Bukhara menjadi sebahagian dari kerajaan Bani Bakhtariyyiin, seterusnya selepas kurun keenam Masihi ia dikuasai oleh Turki, kemudian dikuasai oleh Cina pada kurun ke tujuh Masihi.

Pembukaan Islam

Bandar Bukhara terus berada di bawah kekuasaan Cina sehinggalah zaman pemerintahan Khalifah Kerajaan Umawi Al-Walid bin Abdul Malik (68-69 Hijrah / 705-715 Masihi) ketika Al-Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi, menteri khalifah memerintahkan Qutaibah bin Muslim Al-Bahili supaya membuka negara-negara Transoxiana. Lalu Qutaibah berangkat menuju ke Bukhara dan berjaya membuka Bukhara pada tahun 90 Hijrah / 709 Masihi. Qutaibah bin Muslim telah berusaha meneguhkan kedudukan umat Islam di sana dengan membina beberapa buah masjid serta menyeru penduduknya supaya memeluk Islam. Semenjak ketika itu, bandar Bukhara menjadi sebahagian dari wilayah yang berada di bawah pemerintahan Khilafah Islamiah.

Mir-Arab Madrasah, Bukhara, Uzbekistan


Mercu Tanda

Di Bukhara terdapat banyak kesan peninggalan ilmu, bangunan dan kesenian sehingga ia menjadi pusat warisan seni bina yang sangat agung. Apabila kerajaan Saljuk menguasai Bukhara, mereka turut serta berperanan menjadikan bandar Bukhara semakin berkembang luas, memiliki tamadun yang sangat gemilang serta melimpah dengan kebudayaan, ilmu dan kesenian.

Peristiwa-peristiwa Bersejarah


- Setelah Jenghiz Khan menguasai Bukhara pada tahun (616 Hijrah / 1219 Masihi) dia banyak merobohkan dan meruntuhkan mahligai-mahligai ketamadunan serta membakar perpustakaan yang terdapat di sana. Selepas kekuasaan Bukhara diambil alih oleh Timur Lank pada tahun (785 Hijrah / 1383 Masihi), bandar Bukhara masih tetap berada di dalam keadaan tersebut sehinggalah pemerintah Uzbek membinanya kembali dan menjadikannya sebagai ibu negara kerajaan mereka pada tahun (911 Hijrah / 1505 Masihi).

- Kemudian Bukhara dikuasai pula oleh Iran dan Bukhara terus berada di bawah pemerintahan mereka beberapa ketika sehinggalah ia dikuasai oleh Russia pada tahun (1336 Hijrah / 1918 Masihi).

- Ketika Russia menerapkan sistem komunis di dalam pemerintahannya pada tahun (1342 Hijrah / 1923 Masihi), bandar Bukhara terus berada di bawah Persekutuan Sosialis Soviet Union (USSR) yang lalu sehinggalah sistem tersebut tumbang pada tahun (1412 Hijrah / 1991 Masihi) menyebabkan Bukhara menjadi salah sebuah bandar di negara merdeka Republik Uzbekistan.

Naqshbandi, Bukhara

Tokoh-tokoh Terkenal

- Selepas berlaku pembukaan kawasan Islam ke atas Bukhara, ketokohan ramai di kalangan alim ulama, ahli kesusasteraan dan orang-orang yang memiliki kedudukan di sana yang diketuai oleh Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari penyusun Kitab Jamik As-Sahih yang lebih dikenali dengan nama Sahih Bukhari telah tersebar. Kitab tersebut merupakan kitab yang paling sahih selepas kitab suci Al-Quran. Di antara mereka juga ialah Ibnu Sina seorang cendekiawan Bukhara, seorang Doktor Bukhara dan seorang ahli falsafah Bukhara. Selain darinya juga ialah Abu Hafsin Umar bin Mansur Al-Bukhari yang dikenali dengan nama Al-Bazzar, Al-Hafiz Abu Zakaria Abdul Rahim Ibnu Nasr Al-Bukhari dan Abu Al-Abbas Al-Maqdisi Al-Hambali.

- Di samping itu ramai di kalangan sasterawan dan ahli syair yang terkenal telah menisbahkan nama mereka kepada Bukhara seperti Ar-Raudaky, Fadhil Al-Bukhari, Am’aq Al-Bukhari, Al-Khajandi, Lutfullah An-Naisaburi, Ahmad Al-Karamani dan lain-lain lagi.

Produk 

Bandar Bukhara terkenal dengan hasil pengeluaran buah-buahan terutama Barqouq Bukhara yang telah terkenal hampir seribu tahun yang lampau. Di samping itu Bukhara juga terkenal dengan pasar utama tempat pertemuan di antara pedagang-pedagang yang datang dari Cina dan Asia Barat. Bukhara turut terkenal dengan hasil sutera, kain kapas, permaidani, barang-barang perak, emas dan lombong tembaga.

"Diari Merakam, Sejarah Mencatat Kenangan.."

Dipetik dari Darul Ulum Online.


نفعنا الله وإياكم بما هو خير

No comments:

Post a Comment