Friday, November 30, 2012

Ada Duka Yang Tetap Menjadi Rahsia Antara Kita Dan DIA...

Dan kadang kala,
Akan ada duka yang tak akan mampu kita kongsi,
Walau ada seribu telinga yang mahu mendengar,
Walau ada seribu mulut yang bertanya.

Hatta,
Walau ada begitu banyak bahu untuk kita sandarkan dan menangis.

Akan ada duka yang masih terbungkam dan tersimpan,
Disimpan rapi dalam hati,
Tersembunyi dalam senyum dan tawa.

Bukan kita tak mahu,
Tapi kita tak mampu.

Dan bukan kerana tak percaya,
Cuma kerana kita tak tahu bagaimana harus kita mula.

Dan kerana terkadang,
Bahasa memang gagal menzahirkan sebuah rasa.

Friday, November 23, 2012

.::Untitled::.

Mungkin ada banyak benda yang tak terungkap itu,
Lebih baik tersimpan tak diluah,
Kerana mungkin ada hikmah dan sebab,
ALLAH menjadikan ianya sukar untuk diluahkan.

Tuesday, November 13, 2012

Kelapangan .. ~


Kelapangan terkadang menjeruk rasa.
Membuat kita memikirkan apa yang sudah selayaknya kita lupakan.

Membuat kita mengenang apa yang sudah sepatutnya kita tinggalkan.
Lantas, membuat kita bersedih.

Mengisi kelapangan dengan rasa sedih yang pernah kita tinggalkan,
Tentunya bukan keputusan yang baik.

Ya, 
Seharusnya kelapangan itu membuat kita sedar,
Bahawa kita sebenarnya belum mampu melupakan kesedihan kita.

Kita hanya menutupi rasa sedih itu dengan kesibukan demi kesibukan.

Kita membungkus rasa sedih itu jauh ke dalam hati,
Menyembunyikannya dari diri sendiri.

Biar kelapangan yang ‘mengamit’ kesedihan itu membuat kita sedar,
Bahawa kita belum benar-benar melupakan kesedihan itu.

Biar kelapangan itu membuka mata kita.

Biarkan kelapangan menjadi saksi,
Bahawa kita terkadang menjadi pembohong pada diri sendiri.

Biar kelapangan menjadi guru,
Yang mengajar kita untuk keluar dari kesedihan.

Biarkan ia mendidik kita walau dengan kesakitan.

Kerana sesungguhnya,
Mengisi kelapangan dengan rasa sedih yang pernah kita tinggalkan,
Tentunya bukan keputusan yang baik.