Monday, July 18, 2011

Bagaimana Mereka Menguruskan Cinta..


Ketertarikanmu kepada si dia itu lumrah. Fitrah yang Allah hadirkan. Setiap fitrah ada peraturannya. Fitrah makan pun ada peraturan, inikan pula fitrah cinta. Oleh sebab itu, wajarkah anda mencipta langkah seterusnya tanpa membelek sedikit pun peraturan yang Allah telah tetapkan?

Sanggupkah dirimu mencipta sebuah kenangan cinta tanpa peraturan? Penuh maksiat hati. Menjalar pula pada maksiat perbuatan.

Remajaku sayang, bukan dirimu sahaja yang mengalami rasa cinta, malah semua orang tidak akan terkecuali termasuk para rasul, sahabat dan orang soleh. Bezanya bagaimana mereka menguruskan perasaan itu? Bagaimana pula kita menguruskannya?

Ibn al-Qayyim menukil indah dalam bukunya Raudhah Al-Muhibbin tentang kisah Saidatina Fatimah Al-Zahra pada malam pertamanya. Fatimah, puteri Rasulullah berkata kepada suaminya Saidina Ali: "Kanda, dulu sebelum kita nikah, dinda teringin sangat nak jadi isteri seseorang. Dinda sangat menggaguminya."

Dengan penuh cemburu, Saidina Ali bertanya: "Habis tu, dinda menyesalkah nikah dengan kanda?" Si isteri menjawab dengan senyuman terukir di bibir: "Tidak kandaku sayang, kerana orang itu adalah kanda."

Kisah ini menjadi salah satu bukti jelas bahawa puteri Rasulullah sendiri pernah memendam perasaan cinta kepada Saydina Ali, menggaguminya, merindui dan memasang impian untuk hidup bersamanya.

Namun, adakah si gadis beriman itu berani menghantar surat tanpa pengetahuan wali, berhubung melalui burung merpati, mengatur dating di belakang pohon kurma, atau membonceng unta bersama kekasihnya?

Begitu juga Saidina Ali, adakah dia melalaikan Fatimah dengan janji-janji kosong sebelum menikah? Adakah dia meredah hak wali dengan terus mengurat gadis idamannya? Adakah dia terburu-buru merebut cinta Fatimah yang turut diimpikan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar dengan membawanya lari? Adakah dia meminang Fatimah ketika tidak membina kualiti diri?

Kita pula, bagaimana menguruskan perasaan fitrah kita kepada si dia? Adakah dengan jalan yang menghampiri zina atau dengan jalan yang menghampiri barakah?

Sama-sama kita renungkan.

- Fatimah Syarha -

No comments:

Post a Comment