Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts
Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts

Saturday, July 16, 2011

Renungan Buat Para Suami...


Ada aku peduli isteri dan anak-anakku sudah makan atau belum...
Ada aku peduli jika isteriku tak sempat makan kerana sibuk melayan anak-anak....
Ada aku peduli jika isteriku masih di dapur menyediakan keperluan pagi esok ketika aku sedang berdengkur...
Ada aku peduli siapa yang membelikan sabun mandi, ubat gigi dan meletakkannya di dalam bilik aku bersiram....
Ada aku peduli dah berapa lama isteri aku begitu setia menggosok kain bajuku...
Ada aku peduli bagaimana layanan yg isteriku dambakan dari aku seorang suami...
Ada aku peduli apa perasaan isteriku bila aku pulang ke rumah dengan wajah kusam dan masam....
Ada aku peduli adakah wang yang masih bersisa utk isteri dan anakku ketika aku hendak kepergian....
Ada aku peduli apa perasaan isteriku bila aku tidak pernah menelefonnya ketika aku bertugas di luar.....
Ada aku peduli berapa harga gincu jika isteriku ingin memerahkan bibir yang pudar ditelan masa....
Ada aku peduli bilakah kali terakhir aku menghadiahkan minyak wangi kepada isteriku...
Ada aku peduli bila kali terakhir aku membelikan pakaian utk wanita yg rela menjadi isteriku...menjadi ibu anak-anakku...
Ada aku peduli kenapa isteriku terlelap bersama linangan airmata....
Ada aku peduli jika isteriku terjaga di tengah malam kerana dengkurku......dan aku terus nyenyak tidur dibuai mimpi indah seorang lelaki....

Tiba-tiba aku MENJADI PEDULI dan MENGAMBIL PEDULI


Ketika telefon isteriku berdering di malam hari...
Ketika isteriku mula belajar ber'sms'..dan berchatting...
Ketika isteriku kembali berhias seperti ketika aku mula jatuh hati padanya...
Ketika isteriku sanggup tidak makan malam kerana mahu menjaga badan
Ketika isteriku tidak meminta lagi aku menjadi imamnya....
Ketika isteriku memilih tidur bersama anak-anakku.....
Ketika dia tidak lagi mencium tanganku ketika aku hendak pergi...

Kini, aku baru ingin bertanya kenapa isteriku dah tak peduli padaku?

P/s : Tidak ada manusia yang sempurna baik suami ataupun isteri. Jangan mengharap dilayan seperti raja jika kita tidak pernah menganggap isteri itu permaisuri hati kita. Jangan diharap bunga yang indah jika kita tidak pernah membajanya. Dan selalulah ingat, bila hati seorang wanita telah retak, dia boleh menjadi lebih keras daripada seorang lelaki.

- by Ukhty Norhidayu Abdullah.

Saturday, July 9, 2011

Surat Untuk Bakal Isteri...


Assalamu'alaikum wrt. wbt.

Untukmu, bakal isteriku..

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya.

Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan “Kau tercipta untukku.” Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu.

Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu. Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan ‘sempurna’ di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu.

Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, digelar syeikh. Lidahku mengajak manusia ke arah makruf digelar daie. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perawakanku dan perwatakanku. Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah di sisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita.” Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga.

Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita.

Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. “Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik.”

Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana.

Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku di samping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri. Bukan harta,rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita.

Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian di antara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.

“Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.”

Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu.

Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin.

Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

Dariku,
Bakal suamimu.

- by Ahmad Yassier