Showing posts with label Bicara Hati. Show all posts
Showing posts with label Bicara Hati. Show all posts

Saturday, August 13, 2011

Monolog Hati


Aku menyendiri...
Sepi...Walau ada manusia di sekeliling...
Tapi..itulah hakikatnya..kesepian jiwa yang menagih kasih Ilahi.
Namun hidupku seperti manusia yang lain...
Ada suka, duka, sedih dan gembira...

Itu semua adalah nikmat dan ujian...
Yang penting aku mesti meneruskan kehidupan ini...
Yang lepas, jadikan panduan dan pengalaman...
Dan sentiasa bersedia melakukan yang terbaik di masa yang akan datang...


Sunday, August 7, 2011

Ya Rabbi...



Seandainya telah Engkau catatkan dia yang akan menjadi teman hidupku, satukanlah hatinya dengan hatiku. Titipkanlah kebahagiaan di antara kami agar kemesraan itu abadi. 

Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang dan Yang Maha Pengasih., seiringkanlah kami melayari hidup ini ke tepian yang sejahtera dan abadi.

Tetapi Ya Allah, seandainya telah Engkau takdirkan dia bukan milikku, bawalah ia jauh dari pandanganku. Luputkanlah ia dari ingatanku. Ambillah kebahagiaan ketika dia ada di sisiku dan peliharalah aku dari kekecewaan.

Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Mengerti, berikanlah hamba-Mu ini kekuatan untuk melontar jauh bayangannya agar hamba-Mu ini bisa berbahagia walau tanpa dia.

Ya Allah, gantikanlah yang telah hilang dariku dengan apa yang lebih baik.


Ya Allah, pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu. Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan adalah yang terbaik buat hamba-Mu ini kerana sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala apa yang terbaik buat hamba-Mu ini.

Friday, July 22, 2011

Buatmu Mujahid...


Ku biarkan rinduku bermukim,
Tidakku biarkan lagi resahku bermusim,
Ku biarkan ingatanku meruntun,
Tidakku biarkan lagi pengharapanku beralun.

Biarkan rinduku seringkali menggamit,
Ingatanku padamu akan tergaris,
Bila resahku mendesah,
Jawapanmu tidak lagi keluh kesah,
Cinta yang bertandang jua impian yang mendatang,
Keraguanku takkan lagi menjadi penghalang.

Untuk seketika biarku simpan rinduku di sudut kalbu,
Untuk sementara biarku pendam cintaku di segenap sukma,
Cintaku satu perasaan yang tidak dapat dipelajari tetapi dialami,
Cintaku ini hanyalah secebis dari erti kehidupan,
Uniknya cinta kerana ia menjelmakan kasih sayang yang teragung dan suci,
Ku percaya manusia membina sahsiah diri di muka bumi,
Bermodalkan kasih sayang dan cinta.

Walau air mataku mengalir tidak henti,
Sederas air sungai tika musim tengkujuh,
Namun ku yakin, perlahan-lahan duka dan sedih itukan berlalu pergi,
Hatiku bak pohon semalu disentuh terus menguncup layu,
Hatiku jua bagai kaca bila diketuk retaknya ke seluruh sudut,
Hati…..berlagulah hanya dalam sepi,
Tabahlah menanggung beban duka sendiri.

Janji dan azamku….
Kan ku perbataskan perbuatanku,
Kan ku singkatkan perbualanku,
Kan ku sukat gerak dan gayaku,
Kan ku pelihara kesucian dan maruah diriku,
Tidakkan ku terlalu murah senyumanku dengan mana-mana lelaki ajnabi.

Kerna ku tahu jua ku mengerti.
Wanita solehah itu dipandang dari peribadinya,
Dilihat dari akhlaknya,
Ditinjau dari lemah-lembutnya,
Ditafsirkan dari susunan kata-katanya,
Kegagahan wanita berdiri di atas teguh imannya,
Dari sini wanita jua diriku diketahui segalanya.

Pandanglah kataku,
Renunglah dengan mata hatimu setulusnya,
Selamilah dasar hatiku berbisiklah pada dirimu,
Ambillah mutiara kata yang baik buat teladan,
Tinggalkan kata-kataku yang menyimpang dari landasan kebenaran.

Seperti katamu yang ku semat di hatiku,
Hati ini milik-Nya,
Cinta ini kerana-Nya,
Hidup ini semestinya untuk-Nya.

Pandangan mata selalu menipu,
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Dan pandangan hatilah yang hakiki,
Ketika iman sudah menghias hati,
Dan kemanisannya mula dikecapi,
Semua ujian tidak akan menggugat diri,
Kesunyian…kesedihan dan kekecewaan akan berganti,
Dengan keyakinan dan kesyukuran.

Jika tidak ku perhati hikmahnya dengan mata hati,
Jika tidak ku zuhud dalam pencarian cintaku,
Jika tidak ku teguh mengukir senyum buat pengubat kerunsingan,
Jika tidak ku seikhlas jiwa semurni sanubari memohon keampunan-Nya,
Jika tidak ku titiskan air mata keinsafan,
Jika tidak ku renung dan resapkan keyakinanku pada-Nya,
Jika tidak ku pasrah dengan ketentuan-Nya,
Mana mungkin ku dambakan kasih-Nya dalam iman…?
Bagaimana pula boleh ku mengharap redha dari-Nya…

- Ruuhul Hubbi -

Thursday, July 14, 2011

Asrarul Qolb...



Tidak pernah dan tidak sekali pun aku kisah siapa sahaja yang mahu berkawan dengan ku baik perempuan mahupun lelaki. Apa yang penting bagiku asalkan dia tahu batasnya ikhtilat terutama jika dia seorang lelaki. Tetapi aku kisah jika dia seorang lelaki yang terus-terusan meluahkan perasaan cintanya kepadaku tanpa melalui orang perantaraan yang aku percayai. Kerana aku tidak yakin lelaki sebegini mampu menjadi pemimpinku dalam perjalanan panjang mencari dan meraih redha-Nya. Cintaku tidak semurah itu! Biarlah dia sehebat mana sekalipun tetapi aku tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal ini. Bagi aku lelaki sebegini kurang mujahadahnya dalam mengawal perasaan cintanya walaupun dia seorang yang hebat dari segi dakwah. Di mana hilangnya sensitivitinya terhadap agama dalam hal sebegini yang berkait rapat dengan kerajaan diri iaitu hati? Sedangkan hati perlu dijaga kerana di situ letaknya segala kemuliaan. Cukuplah sekadar berkawan denganku sehingga tiba masa yang ditetapkan-Nya. Saat itu pasti tiba!

Kerap sekali soalan siapa mujahid pilihanku dilontarkan oleh sahabat-sahabat seperjuanganku dulu. Usahlah ditanya kerana itu menjadi asrar qalbi. Cuma ingin aku tegaskan aku tidak menginginkan lelaki yang hebat di pentas dunia, bukan juga yang namanya sering meniti di setiap bibir gadis-gadis kerana ketampanan dan kepimpinannya yang menyerlah tetapi, aku lebih memilih dia yang penuh dengan kerendahan hati, yang bangunnya di sepertiga malam menemui Sang Kekasih dengan hati yang sarat dengan kerinduan dan kecintaan kepada-Nya. Hidupnya sentiasa dalam halaqah, yang ditarbiyah dan istiqamah dalam perjuangan dakwahnya. Biarlah dia tidak dikenali oleh sesiapapun asalkan namanya menjadi sebutan di langit Ilahi dan dirindui para bidadari syurga. Yang ku harapkan bukanlah putera berharta tapi yang diimpi biarlah putera agama. Bukanlah aku mengharapkan yang sempurna kerana aku juga serikandi dengan masa silam yang kelam.

Walaupun adakalanya hati ini terasa lelah dan penat kerana kerap teruji dengan cinta lelaki, ku cuba juga sedaya upaya mungkin menepis cinta yang tak halal buatku. Ku hargai perasaan setiap insan yang datang padaku tetapi aku tetap dengan prinsipku cinta untuk seorang suami takkan ku kongsi! Kalian lebih mulia berbanding diriku yang hanya insan hina yang cuba meraih redha di mata-Nya. Tetapi aku tidak boleh menerima kalian memandangkan hati ini tidak bersedia untuk menerima sesiapa. Bukanlah niatku untuk menyakiti hati sesiapapun, malah aku cukup merasa serba salah bila orang kecewa dan patah hati keranaku. Ketahuilah aku cuma kasihankan kaummu wahai adam kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda: "Tidak ada fitnah terbesar buat seorang lelaki di akhir zaman melainkan seorang wanita."

Aku takut tergolong dalam golongan yang menjadi fitnah kepada lelaki. Aku tidak mahu melalaikan seorang lelaki yang bakal menjadi mujahid agama. Betapa berdosanya diriku jika aku menjadi punca kejatuhan mereka.

Kepada insan yang pernah ku katakan diriku sudah bertunang dan mempunyai pilihan sendiri, ya memang benar. Aku mempunyai pilihan ku sendiri, dan sudah pun bertunang. Aku bertunang dengan study dan gerak kerjaku dan pilihanku adalah "dia" yang Allah takdirkan buatku. Dalam usiaku ini aku tidak mahu tertipu dengan cinta palsu yang boleh mengundang padah pada keberkatan rumah tanggaku kelak. Kupetik sedikit kata-kata Dr Nazri yang bercinta sebelum kahwin dan sering keluar bersama dengan teman wanitanya dalam buku Dr Farhan Hadi - Denyut Kasih Medik:

"Kena jaga hubungan dengan tunang. Saya rasa macam tak berkat aje lepas kahwin. Hati jadi susah. Rasa selalu curiga. Bila dia keluar aje terus rasa tak sedap hati. Kalau sebelum kahwin dah berani keluar dengan saya, sekarang ni pun mestilah berani keluar dengan lelaki lain. Curiga ni susah nak hilang. Rasa menyesal pula tak pilih yang baik dan solehah."

Inilah yang cukup aku takuti. Benarlah, dosa semalam menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya! 

Sememangnya jatuh cinta itu bukanlah sesuatu yang salah kerana ianya fitrah dan merupakan hadiah dari Sang Pencipta. Tetapi manusia sering kali terlupa dan leka, mereka terlalu taksub dengan hadiah yang diberi sehingga terlupa untuk berterima kasih pada Sang Pemberi Hadiah itu. Oleh itu hati ini ku serahkan pada-Nya, biarlah Dia yang menentukan kepada siapa ianya layak dimiliki.

Wallahu 'alam.

http://layakkahakumenjadibidadarisyurga.blogspot.com

Sunday, July 10, 2011

Cinta Tidak Semestinya Bersama...


Cairo kurasakan sepi tanpa khabar darimu. Bunyi sahrawi yang mengepuk debu kering itu bagai membawa gemersik suaramu. Tetapi aku tetap sedar bahawa engkau sememangnya tak pernah berada di sisi. Semenjak dahulu, kini dan selamanya. Aku yang memulakan salam pertemuan, selayaknya aku jua yang melafazkan salam perpisahan.

Ingatkah, dirimu sewaktu dirimu meletakkan harapan yang tinggi pada hubungan ini. Waktu itu betapa kita yakin bahawa hubungan ini akan utuh dan kukuh. Kita yakin susah senang mampu diharungi dengan sabar. Masa itu kita masih muda, kita penuh dengan semangat serta azam.  Kita kadang-kadang lupa dengan tribulasi, melihat cabaran dengan mata yang kurang terbuka. Biar jauh atau dekat, biar senang atau susah, kita tetap mahu pastikan agar hubungan ini berjaya.

Dahulu pernah kuungkap, "JANGAN TERBANG TERLALU TINGGI, KALAU JATUH NANTI AKAN PARAH."
Lalu engkau menjawab, "KALAU KITA TIDAK MENCUBA UNTUK TERBANG TINGGI, SAMPAI BILA PUN KITA AKAN TAKUT UNTUK MENCUBA."

Kalam ini banyak memberi kesan pada diriku.

Aku terasing jauh dari bumi sendiri, terbang melintasi benua dan akhirnya terdampar di pesisir Mediterranean. Apabila diimbau sejarah kita, terasa seolah sesuatu kisah yang kita karang bersama adunan rasa jujur dan tulus. Walaupun hubungan kita tidak disuburkan dengan pertemuan. Namun, kesefahaman dan kepercayaan telah menyiram benih-benih kemesraan. Antara kita ada toleransi dan saling memahami. Ah, seolah sebuah kisah mitos yang tidak wujud, tetapi ia berlaku dalam hidup kita.

Dahulu aku takut untuk melepaskan keindahan itu. Takut dengan perasaan sendiri. Ternyata, walau setinggi manapun kita terbang, kita perlu juga hinggap seketika. Mungkin sudah sampai masanya kita mencari haluan masing-masing sebelum kembali terbang. Jangan terjun dari awan, itu akan cederakan diri sendiri. Carilah dahan yang ampuh untuk kita turun dan hinggap. Agar tiada yang luka atau cedera. Jadilah persis burung besar. Ke mana sahaja kita terbang, semampunya kita tuju dengan sepenuh kekuatan dan kematangan.

Selagi kita fahami realiti dan tidak terikat dengan emosi. Pasti konklusinya mampu kita capai dengan baik. Antara kita, ada peristiwa yang menjadi kenangan abadi namun tidak bermaksud kita mengagungkannya. Jadikan ia sekadar memori untuk diri sendiri. Sekadar nostalgia untuk diimbau. Biarlah ia menjadi khazanah yang berharga atau mungkin sahaja hilang ditelan masa.

Dan hari ini kita noktahkan dahulu kisah kita di sini. Antara kita ada kisah dan peristiwa yang hanya kita dan DIA YANG MAHA KUASA yang tahu.

Benarlah, cinta tidak mampu memenangkan segalanya. Tidak juga membawa segala kesempurnaan hadir di sisi. Tetapi ia mengajar kita menerima sesuatu seadanya. Cinta tidak semestinya bersama, tetapi memastikan orang yang dicintai bahagia.

Terima kasih kerana pernah menerima diri ini sebagai insan istimewa..

- Cairo, Republic Of Egypt.

~ dipetik dari sebuah novel yang berjudul "Warkah Cinta Berbau Syurga."

Wednesday, July 6, 2011

Doa Quddusku...



Aku berdoa untuk seorang lelaki yang akan menjadi bahagian daripada hidupku.

Seorang yang sungguh mencintai-Mu lebih daripada segala sesuatu. Seorang lelaki yang akan meletakkan aku pada posisi keempat dalam hatinya setelah Engkau, Rasul dan umminya.

Seorang lelaki yang hidup bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk-Mu. Wajah tampan dan daya tarikan fizikalnya tidak penting.

Yang penting adalah sebuah hati yang sungguh mencintai dan dekat dengan-Mu. Dan berusaha menjadikan sifat-sifat-Mu ada pada dirinya.

Dan ia haruslah mengetahui bagi siapa dan untuk apa ia hidup sehingga hidupnya tidaklah sia-sia. Seorang yang memiliki hati yang bijak, tidak hanya otak yang cerdas.

Seorang lelaki yang tidak hanya mencintaiku tetapi juga menghormatiku. Seorang lelaki yang tidak hanya memujaku tetapi juga dapat menasihatiku ketika aku berbuat salah.

Seorang yang mencintaiku bukan kerana kecantikanku tetapi kerana hatiku. Seorang lelaki yang dapat menjadi sahabat terbaikku setiap waktu. Seorang yang dapat membuatku berasa sebagai wanita ketika aku di sisinya.

Tuhanku...
Aku juga meminta,
Jadikanlah aku wanita yang dapat membuatnya bangga.
Berikan aku hati yang sungguh mencintai-Mu.
Sehingga aku dapat mencintainya dengan sekadar cintaku.

- petikan dari sebuah novel yang berjudul Stanza Cinta.

Tuesday, July 5, 2011

Tidak Ku Impi…


Tidak ku impi kau insan sempurna,
Kerna sedar kau jua sepertiku,
Mengheret gayutan masa-masa lalu,
Akibat kealpaan diri yang dulu,

Tidak ku harap engkau insan agung,
Diarak pujian maha melambung,
Ku akur kau jua sepertiku,
Cuba membaiki seribu satu kelemahan diri,
Natijah nafsu dan syaitan yang mengulit,

Tidakku perlukan serami bangsawan,
Menghambuskan aku dengan kemewahan,
Jauh sekali pangkat dan gelaran,
Yang cuma mulia di bibir manusia,
Tapi kosong di sisi ILAHI,
Mengangkat riya' dan takbur di pinggir hati,

Aduhai bakal suamiku.......
Ku impikan kau seadanya,
Meletakkan Allah dan Rasul sebagai matlamat,
Berusaha sepenuh kudrat,
Membahagiakan aku dan bakal zuriatmu berlandaskan syariat,
Moga redha & rahmat ILAHI buatmu, aku dan bakal zuriat kita..
Menjadi suratan hakikat…

Insya Allah...Ameen Ya Robbana....

- Puisi yang sangat indah ini saya petik dari sebuah novel yang saya memang suka iaitu 'Stanza Cinta' yang mana penulisnya merupakan kakak senior sekolah menengah saya dahulu. Saya cukup kagum dengan penulisan beliau. Semoga Allah terus memberi kekuatan pada beliau untuk terus berkarya mudah-mudahan. In sha Allah.