Cairo kurasakan sepi tanpa khabar darimu. Bunyi sahrawi yang mengepuk debu kering itu bagai membawa gemersik suaramu. Tetapi aku tetap sedar bahawa engkau sememangnya tak pernah berada di sisi. Semenjak dahulu, kini dan selamanya. Aku yang memulakan salam pertemuan, selayaknya aku jua yang melafazkan salam perpisahan.
Ingatkah, dirimu sewaktu dirimu meletakkan harapan yang tinggi pada hubungan ini. Waktu itu betapa kita yakin bahawa hubungan ini akan utuh dan kukuh. Kita yakin susah senang mampu diharungi dengan sabar. Masa itu kita masih muda, kita penuh dengan semangat serta azam. Kita kadang-kadang lupa dengan tribulasi, melihat cabaran dengan mata yang kurang terbuka. Biar jauh atau dekat, biar senang atau susah, kita tetap mahu pastikan agar hubungan ini berjaya.
Dahulu pernah kuungkap, "JANGAN TERBANG TERLALU TINGGI, KALAU JATUH NANTI AKAN PARAH."
Lalu engkau menjawab, "KALAU KITA TIDAK MENCUBA UNTUK TERBANG TINGGI, SAMPAI BILA PUN KITA AKAN TAKUT UNTUK MENCUBA."
Kalam ini banyak memberi kesan pada diriku.
Aku terasing jauh dari bumi sendiri, terbang melintasi benua dan akhirnya terdampar di pesisir Mediterranean. Apabila diimbau sejarah kita, terasa seolah sesuatu kisah yang kita karang bersama adunan rasa jujur dan tulus. Walaupun hubungan kita tidak disuburkan dengan pertemuan. Namun, kesefahaman dan kepercayaan telah menyiram benih-benih kemesraan. Antara kita ada toleransi dan saling memahami. Ah, seolah sebuah kisah mitos yang tidak wujud, tetapi ia berlaku dalam hidup kita.
Dahulu aku takut untuk melepaskan keindahan itu. Takut dengan perasaan sendiri. Ternyata, walau setinggi manapun kita terbang, kita perlu juga hinggap seketika. Mungkin sudah sampai masanya kita mencari haluan masing-masing sebelum kembali terbang. Jangan terjun dari awan, itu akan cederakan diri sendiri. Carilah dahan yang ampuh untuk kita turun dan hinggap. Agar tiada yang luka atau cedera. Jadilah persis burung besar. Ke mana sahaja kita terbang, semampunya kita tuju dengan sepenuh kekuatan dan kematangan.
Selagi kita fahami realiti dan tidak terikat dengan emosi. Pasti konklusinya mampu kita capai dengan baik. Antara kita, ada peristiwa yang menjadi kenangan abadi namun tidak bermaksud kita mengagungkannya. Jadikan ia sekadar memori untuk diri sendiri. Sekadar nostalgia untuk diimbau. Biarlah ia menjadi khazanah yang berharga atau mungkin sahaja hilang ditelan masa.
Dan hari ini kita noktahkan dahulu kisah kita di sini. Antara kita ada kisah dan peristiwa yang hanya kita dan DIA YANG MAHA KUASA yang tahu.
Benarlah, cinta tidak mampu memenangkan segalanya. Tidak juga membawa segala kesempurnaan hadir di sisi. Tetapi ia mengajar kita menerima sesuatu seadanya. Cinta tidak semestinya bersama, tetapi memastikan orang yang dicintai bahagia.
Terima kasih kerana pernah menerima diri ini sebagai insan istimewa..
- Cairo, Republic Of Egypt.
~ dipetik dari sebuah novel yang berjudul "Warkah Cinta Berbau Syurga."
No comments:
Post a Comment