Perasaannya  berkecamuk. Bagaikan kering air mata menangisi berita yang disampaikan  oleh Doktor Abdullah. Alangkah remuknya hati seorang isteri yang ingin  menghadiahkan cenderamata yang cukup berharga buat seorang suami yang  tercinta. Dia menangis teresak-esak. Basah lenjun bantal di bilik  tidurnya menjadi mangsa. Namun, apa lagi yang mampu dilakukan Anis  selain menangis. Ya, takdir adalah satu hakikat yang perlu diterima,  namun jiwanya diakui terlalu lemah untuk menerima ujian ini.
"Ya  Allah, tabahkan hati ini…" Anis merayu di dalam tangis. Hanya kepada  Allah mampu dipanjatkan doa agar dirinya ditabahkan dalam menghadapai  ujian ini. Anis sama sekali tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan  suaminya nanti apabila mendengar berita ini.
"Anis, kenapa  ni…? Abang rasa dari tadi kan Anis menangis..?" Muhammad yang baru saja  pulang dari kerja cuba bersuara dengan lembut memujuk isterinya yang  sudah dilanda banjir.
"Abang…. tadi Doktor Abdullah  telefon. Dia nak cakap dengan abang… Tapi bila Anis bagitau abang tak  ada, dia sampaikan satu berita.."
"Berita? Berita apa ye..?"
"Abang….." Anis di dalam sedu cuba mencari kekuatan untuk mengungkap khabar.
"Doktor  Abdullah mengesahkan, hasil pemeriksaan kita baru-baru ini, kita tidak  akan mendapat anak. Anis tak mampu mengandung bang…..!!" Anis  menggagahkan dirinya bersuara sekalipun diiringi tangis yang semakin  kuat.
"Innalillahi wainna ilaihirajiun…." Muhammad  mengeluh panjang. Menutup muka dengan kedua-dua tapak tangannya. Anis  pasti suaminya turut menangis..
***********
Rumahtangganya  cukup bahagia. Malah tiada siapapun yang dapat menafikan kebahagiaan  rumahtangga mereka. Seorang jejaka yang sudah lama menaruh hati kepada  gadis idamannya yang rupa-rupanya dalam diam turut menyimpan kasih yang  terpendam. Anis, satu nama yang cukup gah di kampus pengajian mereka  satu masa dulu. Menjadi idaman bukan seorang di kalangan pemuda-pemuda  yang terlibat dengan gerakan di kampus. Tiada siapa menduga di dalam  diam, hubungannya terbina dengan cukup indah dan terjaga dengan seorang  seniornya, Muhammad. Walaupun berbeza negeri kelahiran dan jarak umur  yang agak jauh memisahkan mereka, namun takdir Allah SWT mempertautkan  antara dua hati, Muhammad dan Anis.
Masih terbayang jelas  di ruang fikiran Anis, episod demi episod di dalam hubungan kasihnya  dengan Muhammad, insan yang kini bergelar suami. Tanpa sebarang dating  dan hubungan terlarang antara dirinya dengan Muhammad, mereka dijodohkan  setelah mendapat persetujuan di antara kedua-dua belah keluarga.  Rupa-rupanya, Muhammad melakukan langkah yang lebih ke hadapan apabila  bertindak nekad menghantar rombongan peminangan ke rumahnya.
Mereka  dijodohkan dengan begitu ringkas. Tanpa majlis perkahwinan yang memakan  belanja yang besar dan tanpa diiringi paluan kompang yang menggamatkan  seluruh kampung, mereka akhirnya bergelar suami isteri yang sah.  Saat-saat manis bermula di dalam kehidupan bagaikana bunga-bunga yang  kembang mekar disirami titisan-titisan hujan. Keharuman melebar ke  segenap ruang pelusuk taman.
Anis akui, suaminya cukup  baik. Perkongsian hidup dengan Muhammad baginya adalah satu pengalaman  yang cukup indah. Tidak sesekali Muhammad meninggikan suara biar betapa  letih menguasai dirinya. Bahkan, cukup bahagia dirinya sebagai seorang  isteri dilayan dan dibelai oleh suami sebaik Muhammad. Anis akui,  bagaikan tiada suami yang lebih baik dari Muhammad.
Namun,  dugaan Allah pasti akan menimpa sesiapa sahaja di kalangan hambaNya.  Bumi yang mana tidak ditimpa hujan, hidup yang mana tidak dilanda ujian.  Sepanjang 5 tahun perkongsian hidup dengan Muhammad, mereka tidak  dikurniakan cahaya mata. Anis sering melirik cemburu apabila melihat  anak-anak kecil bermain riang di hadapan rumah. Apatah lagi apabila  mendengar tangisan bayi, bagaikan tertarik-tarik naluri keibuan di dalam  dirinya untuk turut sama mempunyai cahaya mata. Namun, Muhammad sering  kali bijak memujuk emosinya, "Kalau dapat anak, kita tak mungkin dapat  berpimping tangan lagi…."
Anis sering tersenyum apabila  mendengar gurauan Muhammad sekalipun hati kecilnya begitu yakin bahawa  Muhammad seperti dirinya, begitu merindukan kehadiran seorang cahaya  mata. Hinggalah akhirnya, dia mencadangkan agar mereka bertemu doktor….
***********
"Anis sudah yakinkah dengan keputusan ini..?" Muhammad meminta kepastian dari isterinya.
"Anis yakin bang… Anis sudah istikharah.. Anis yakin, inilah pengorbanan Anis untuk abang.."
"Anis, abang tidak perlukan satu lagi sayap.. Cukuplah Anis menjadi sayap kiri abang dalam perjuangan.."
"Abang…  tapi abang perlukan zuriat. Anis tak mampu nak berikan abang zuriat…"  Lemah suara Anis sambil menahan perasaan. Tanpa disedari manik-manik  halus mula berkumpul di kolam matanya menanti masa untuk ditumpahkan.
"Anis…." Muhammad menggenggam erat tangan isterinya.
"Abang  bukan seperti lelaki yang lain. Cukuplah seorang isteri buat abang  melayari hidup ini. Abang kasihkan Anis, dan selamanya kasih ini tidak  akan berubah. Ingatkah dulu.. kita pernah berjanji, kasih kita tidak  akan terlerai, selama-lamanya, kan? Anis masih ingat?"
Anis  terdiam. Ruang fikirannya memutar semula satu demi satu episod manis  yang menemukan dirinya dengan Muhammad. Ya, mereka pernah berjanji…  hidup bersama dengan kasih dan cinta yang dibina hinggalah tiba  ketentuan Allah. Mereka juga pernah berjanji, akan menjaga keutuhan  mahligai yang dibina agar kekal bahagia… bahagia hingga ke anak cucu.  Sekali lagi Anis sebak apabila mengenangkan gurauan Muhammad yang  mahukan anak yang ramai..
"Abang……" Anis mencari kekuatan yang sering kali hilang sejak akhir-akhir ini.
"Abang,  Anis tahu abang kasihkan Anis. Namun, abang juga perlukan zuriat.  Kahwinilah dia bang… Anis kenal dia. Malah bagi Anis, itulah yang  terbaik yang mampu Anis persembahkan buat abang…"
"Kalau  abang ternyata tidak mampu berlaku adil, bagaimana? Anis bersedia untuk  menerima? Anis…. persoalan ini berat.. terlalu berat buat abang.."
"Tidak  abang… Anis yakin dan kenal siapa abang… Abang, Anis rela berkorban,  untuk kebahagiaan abang…" Semakin hebat tangisan Anis mengiringi  pengakuannya. Muhammad mengerti, bukan mudah untuk seorang isteri  melalukan pengorbanan seperti Anis.
***********
Langit  yang mendung malam itu bagaikan mengerti bagaimana perasaan seorang  isteri yang ditinggalkan keseorangan. Anis membelek perlahan album  kenangan sewaktu bermulanya kenangan indah bersama Muhammad.  Kadang-kadang tersenyum bila mengingati bagaimana kemanisan cinta mereka  bermula yang akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Malam itu, cukup  sejuk diiringi dengan hembusan angin yang seolah-olah mengundang  turunnya hujan yang lebat dari langit. Namun, gundah di hati Anis lebih  hebat dari itu..
Malam itu, dalam satu majlis yang serba  ringkas Muhammad dijadualkan akan diijabkabulkan dengan Zulaikha, insan  yang akan menjadi madu Anis. Petang tadi, Anis sudah mempersiapkan  Muhammad untuk menjadi bakal pengantin. Suaminya turun dari rumah dengan  langkah yang berat. Anis tahu, hati Muhammad masih berbelah bahagi.
Zulaikha,  bekas junior Anis semasa di kampus dicadangkan Anis sendiri untuk  diperisterikan oleh suaminya. Insan yang bakal berkongsi kasih sayang  dengannya sepanjang hayat. Anis kenal siapa Zulaikha dan cukup  menyenanginya. Cuma, kadang-kadang Anis termanggu sendirian, betulkah  apa yang dia lakukan? Dan mampukah dia menghadapi hidup ini kelak?  Biarpun sesekali penyesalan bertandang, namun Anis yakin, itulah  pengorbanan yang paling agung yang dapat dilakukan olehnya seorang  isteri. Dan sekali lagi, Anis merasakan, manik-manis halus terasa suam  menuruni pipinya. Anis cukup pasti, waktu ini tentu suaminya sudah lena  di dalam kehangatan layanan isteri barunya. Namun, biarlah dia pula  menikmati kelazatan bermunajat kepada tuhannya.
Bagaimanapun, langkah Anis terhenti seketika. Ada seseorang cuba membuka pintu pagar dan memasuki halaman rumahnya.
"..Abang..!!"  Anis terkejut kepulangan serta merta suaminya di waktu yang tidak  sepatutnya. Lantas spontan dia tunduk mencium tangan suaminya, namun  kali ini tidak seperti biasa, Muhammad tidak ingin melepaskan tangannya.
"Anis…..!!"
"Abang  berbincang panjang dengan Zulaikha dan ayahnya. Abang tidak akan  berkahwin lain… Anis, dalam hidup abang, Anis hanya seorang…!!" Serentak  dengan itu, Anis teresak-esak di dada suaminya.
- cerita ini ditulis oleh S/U akhbar MB Kelantan yang baru dan tiada kena mengena yang hidup atau yang mati.
Ahmad Fadhli bin Shaari.
11 Januari 2004.