Tidak  pernah dan tidak sekali pun aku kisah siapa sahaja yang mahu  berkawan  dengan ku baik perempuan mahupun lelaki. Apa yang penting  bagiku asalkan  dia tahu batasnya ikhtilat terutama jika dia seorang  lelaki. Tetapi aku  kisah jika dia seorang lelaki yang terus-terusan  meluahkan perasaan  cintanya kepadaku tanpa melalui orang perantaraan  yang aku percayai.  Kerana aku tidak yakin lelaki sebegini mampu menjadi  pemimpinku dalam  perjalanan panjang mencari dan meraih redha-Nya.  Cintaku tidak semurah  itu! Biarlah dia sehebat mana sekalipun tetapi  aku tidak akan  sekali-kali berkompromi dalam soal ini. Bagi aku lelaki  sebegini kurang  mujahadahnya dalam mengawal perasaan cintanya walaupun  dia seorang yang  hebat dari segi dakwah. Di mana hilangnya  sensitivitinya terhadap agama  dalam hal sebegini yang berkait rapat  dengan kerajaan diri iaitu hati? Sedangkan hati perlu dijaga kerana di  situ letaknya segala kemuliaan.  Cukuplah sekadar berkawan denganku  sehingga tiba masa yang  ditetapkan-Nya. Saat itu pasti tiba!
Kerap  sekali soalan  siapa mujahid pilihanku dilontarkan oleh sahabat-sahabat  seperjuanganku dulu.  Usahlah ditanya kerana itu menjadi asrar qalbi.  Cuma ingin aku tegaskan  aku tidak menginginkan lelaki yang hebat di  pentas dunia, bukan juga  yang namanya sering meniti di setiap bibir  gadis-gadis kerana ketampanan  dan kepimpinannya yang menyerlah tetapi,  aku lebih memilih dia yang  penuh dengan kerendahan hati, yang bangunnya  di sepertiga malam menemui  Sang Kekasih dengan hati yang sarat dengan  kerinduan dan kecintaan  kepada-Nya. Hidupnya sentiasa dalam halaqah,  yang ditarbiyah dan  istiqamah dalam perjuangan dakwahnya. Biarlah dia  tidak dikenali oleh  sesiapapun asalkan namanya menjadi sebutan di  langit Ilahi dan dirindui  para bidadari syurga. Yang ku harapkan  bukanlah putera berharta tapi  yang diimpi biarlah putera agama.  Bukanlah aku mengharapkan yang  sempurna kerana aku juga serikandi  dengan masa silam yang kelam.
Aku   takut tergolong dalam golongan yang menjadi fitnah kepada lelaki. Aku   tidak mahu melalaikan seorang lelaki yang bakal menjadi mujahid agama.   Betapa berdosanya diriku jika aku menjadi punca kejatuhan mereka.
Kepada   insan yang pernah ku katakan diriku sudah bertunang dan mempunyai   pilihan sendiri, ya memang benar. Aku mempunyai pilihan ku sendiri, dan   sudah pun bertunang. Aku bertunang dengan study dan gerak kerjaku dan   pilihanku adalah "dia" yang Allah takdirkan buatku. Dalam usiaku ini   aku tidak mahu tertipu dengan cinta palsu yang boleh mengundang padah   pada keberkatan rumah tanggaku kelak. Kupetik sedikit kata-kata Dr  Nazri  yang bercinta sebelum kahwin dan sering keluar bersama dengan  teman  wanitanya dalam buku Dr Farhan Hadi - Denyut Kasih Medik:
"Kena jaga hubungan dengan tunang. Saya rasa macam tak berkat aje lepas   kahwin. Hati jadi susah. Rasa selalu curiga. Bila dia keluar aje terus   rasa tak sedap hati. Kalau sebelum kahwin dah berani keluar dengan  saya,  sekarang ni pun mestilah berani keluar dengan lelaki lain. Curiga  ni  susah nak hilang. Rasa menyesal pula tak pilih yang baik dan  solehah."
Inilah yang cukup aku takuti. Benarlah, dosa semalam menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya! 
Sememangnya   jatuh cinta itu bukanlah sesuatu yang salah kerana ianya fitrah dan   merupakan hadiah dari Sang Pencipta. Tetapi manusia sering kali terlupa   dan leka, mereka terlalu taksub dengan hadiah yang diberi sehingga   terlupa untuk berterima kasih pada Sang Pemberi Hadiah itu. Oleh itu   hati ini ku serahkan pada-Nya, biarlah Dia yang menentukan kepada siapa  ianya layak dimiliki.
Wallahu 'alam.
http://layakkahakumenjadibidadarisyurga.blogspot.com

No comments:
Post a Comment