Showing posts with label Cerita Menarik. Show all posts
Showing posts with label Cerita Menarik. Show all posts

Monday, August 22, 2011

9 Nafsu 1 Akal, 1 Nafsu 9 Akal


Pada suatu hari, Imam Hasan Al-Basri bersama dua orang sahabatnya pergi ke rumah Rabiah Adawiyah untuk meminangnya untuk salah seorang daripada mereka. Niat murni mereka disambut baik oleh Rabiah. Rabiah akan menjawab sama ada beliau bersetuju atau tidak dengan pinangan itu jika soalannya dijawab.

Lalu Rabiah bertanya kepada mereka, ”Berapakah nafsu bagi lelaki dan berapakah nafsu bagi wanita?”. Lantas Imam Hasan Al-Basri menjawab, ”Lelaki mempunyai satu nafsu dan wanita mempunyai 9 nafsu”.

Rabiah tersenyum lalu berkata, “Jika benar apa yang kamu katakan sebentar tadi, kenapa kamu tidak boleh menahan nafsumu meskipun kamu mempunyai satu nafsu sahaja dan kenapa aku boleh menahan nafsuku meskipun aku mempunyai 9 nafsu?”

Mendengar kata-kata daripada Rabiah itu, mereka pun tunduk malu dan sedih lalu meminta diri untuk pulang dalam keadaan yang kecewa dan janggutnya basah terkena air matanya yang mengalir keluar.

Demikianlah satu kisah pendek mengenai pinangan Imam Hasan Al-Basri terhadap Rabiah Adawiyah.

Berdasarkan kisah tadi, jelaslah bahawa wanita mempunyai nafsu lebih banyak daripada lelaki tetapi ini bukan untuk merendah-rendahkan kaum hawa. Jauh sekali untuk menghina mereka. Bahkan cerita ini meningkatkan lagi martabat kaum hawa dan maruah diri mereka sendiri.

Monday, August 15, 2011

Kisah Seorang Profesor Dengan Seorang Pendayung Sampan


Suatu hari, seorang profesor menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang dikayuh oleh seorang pendayung sampan. Di tengah sungai, profesor bertanya, "Kamu pandai menulis dan membaca?"

"Tidak. Saya buta huruf," jawab pendayung sampan.

"Kalau begitu, kamu sudah hilang separuh daripada kehidupan kamu. Orang yang tidak pandai menulis dan membaca seoalah-olah hilang separuh keupayaan untuk hidup dengan berjaya."

Sampan bergerak perlahan. Tidak lama selepas itu, profesor bertanya lagi, "Kamu ada membuat simpanan wang di bank?"

"Tidak. Pendapatan saya hanya cukup-cukup makan," jawab pendayung sampan lagi.

"Kalau begitu, kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang tidak menyimpan wang boleh hidup dengan selesa ketika usia tua nanti."

Sampan terus bergerak. Tiba-tiba, sampan itu bocor. Air masuk dengan banyaknya dan sampan hampir tenggelam. Kali ini pendayung sampan bertanya, "Tuan, adakah tuan pandai berenang?"

"Er...saya tak tahu berenang," jawab profesor dengan nada panik.

"Kalau begitu tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!"

Pengajarannya:

Dalam hidup ini, IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin sebuah kehidupan.

Tidak guna kita pandai dan tahu tentang banyak perkara jika kita tidak tahu perkara-perkara yang penting dalam hidup kita. Adakalanya orang yang kita sangka tidak pandai itu rupa-rupanya lebih berjaya daripada kita. Dia mungkin kurang bijak dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kerjayanya, tetapi "MASTER" dalam bidang yang diceburi.

Oleh kerana hidup ini terlalu singkat. Maka, tanyalah pada diri sendiri. Untuk apakah ilmu yang dikumpul jika bukan untuk digunakan dan juga boleh digunakan?

Sama-sama kita fikirkan.